Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 01 JULAI 2025 : Pahang Skills Development Centre (PSDC) memberi peluang kepada anak Pahang untuk menceburi pelbagai bidang khususnya berteraskan teknologi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, institut pengajian berkenaan menawarkan pelbagai kursus khasnya dalam bidang teknologi seperti teknologi dron, multimedia, dan teknologi solar.
“Saya tengok dan saya diberi penjelasan bahawa sudah banyak kursus-kursus ditawarkan oleh PSDC, diantaranya adalah teknologi dron, multimedia, solar dan yang paling penting juga teknologi berimpak tinggi,” katanya.

Beliau turut berkata PSDC membuktikan komitmen terhadap pendidikan berkualiti tinggi dengan kejayaan menghantar 10 pelajar ke China bagi mengikuti latihan projek ECRL.
“PSDC juga telah menghantar 10 orang pelajar ke China bagi latihan program bersama ECRL. InsyaAllah ada tambahan sebanyak 17 orang lagi.
“Ini menunjukkan yang PSDC ini sentiasa memberikan terbaik dan sentiasa memikirkan kursus-kursus yang boleh ditawarkan lagi kepada pelajar-pelajar khasnya di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pahang Skills Development Centre (PSDC) dan Syarikat Golden Stream Plantation Sdn. Bhd. di Mini Theatre, Pahang Skills Development Centre, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada golongan muda di negeri ini agar merebut peluang yang ditawarkan oleh PSDC sebagai langkah awal membina masa depan yang cerah dalam bidang teknologi dan teknikal.
“Saya menyeru kepada anak-anak pahang yang berada diluar sana, sekiranya ada peluang belajarlah di PSDC (Pahang Skills Development Centre) ini.
“Saya difahamkan tadi peluang belajar di sini amat tinggi, dimana umur minimumnya adalah 16 tahun dan tiada had maksimum,” katanya. -PAHANGMEDIA

