Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 29 JUN 2025: Pertandingan Menjala Ikan buat julung kalinya di Jambatan Sungai Kerak, Kampung Kuala Gali telah merekodkan hasil tangkapan keseluruhan sebanyak 19.43 kilogram melibatkan 350 ekor pelbagai spesis.
Dalam pertandingan berkenaan, Encik Muhammad Fakhrul Razi Zainuddin, 33, dari Kampung Ajai telah mencuri tumpuan apabila memenangi kategori menjala ikan terbanyak di acara tersebut.

Dia menyifatkan hasil tangkapan yang diperolehnya pada hari ini sebagai satu rezeki yang tidak disangka, hasil daripada pengalaman dan usaha gigihnya menjala sejak di bangku sekolah rendah.
“Alhamdulillah rezeki (menang kategori ikan terbanyak). Petua, kalau nak menjala ni kena ikut ukuran jala. Kalau ukuran jala kecik, dia mesti kena duduk depan. Sebab kalau kita ikut dari belakang, ikan memang akan lari duduk depan dah,” katanya.
Bagaimanapun, dia turut mengakui pertandingan hari ini mempunyai cabaran besar apabila perlu meredah arus deras di Sungai Gali akibat hujan lebat pada malam sebelum pertandingan berlangsung.
“Cabaran dia air sungai hari ni. Kita nak redah tu arus dia deras. Kaki pun nak cramp (kejang) dah tapi tetap kena redah juga,” tambahnya.

Selain itu, Encik Almazeni Abdullah, 44, dari Kampung Sungai Lar telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan tangkapan seberat 1.28 kilogram serta turut menjadi pemenang dalam kategori tangkapan Ikan Paling Besar.
Dia yang melahirkan rasa gembira dan syukur diatas kemenangan berganda itu turut menyatakan hasrat untuk kembali menyertai pertandingan sekiranya ia dianjurkan semula pada tahun hadapan.
Acara yang menarik penyertaan 128 peserta tersebut telah dianjurkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, bertujuan memeriahkan suasana dan menunjukkan sokongan terhadap aktiviti masyarakat setempat. -PAHANGMEDIA

