Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 26 JUN 2025 : Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, tampil membantu seorang ibu tunggal di Taman Kerayong Impian di sini, bagi memudahkan urusan penerimaan pencen penakat PERKESO arwah suaminya.
Siti Aishah Abu Bakar, 28, kehilangan suami tercinta, Muhammad Firdaus Razali, 31, pada 22 Jun lalu akibat komplikasi penyakit buah pinggang tahap lima yang dihidapi sejak awal tahun ini.
Menurut Siti Aishah, arwah suaminya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM4,000 sebulan, namun terpaksa berhenti kerja selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan.

“Pada mulanya dia hanya sakit kepala tanpa henti selama dua minggu. Bila buat pemeriksaan, doktor sahkan dia menghidap sakit buah pinggang tahap lima. Dari Januari hingga April, dia tolak rawatan dialisis kerana tidak mampu. Hanya pada Mei lalu baru bersedia memulakan rawatan.
“Pada hari raya kedua Aidiladha, seorang kenalan ajak suami pergi ke rumah YB. Dato’ Sabariah yang sedang melaksanakan ibadah korban untuk memohon bantuan. Dato’ bersetuju untuk membantu dan dalam usaha memudahkan permohonan bantuan PERKESO.
“Namun belum sempat menerima bantuan itu, suami saya meninggal dunia seminggu kemudian,” katanya kepada Pahang Media selepas menerima kunjungan YB. Dato’ Sabariah, di rumahnya di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, hasil inisiatif dan keprihatinan YB. Dato’ Sabariah, urusan permohonan pencen penakat bagi waris arwah berjaya diluluskan oleh PERKESO dan Siti Aishah kini menerima bantuan berjumlah RM2,700 sebulan bermula Julai ini.

Selain itu, beliau turut menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000.
“Saya bersyukur sangat dan ingin ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada YB. Dato’ Sabariah atas bantuan yang amat besar maknanya kepada kami sekeluarga. Dengan adanya bantuan ini, sekurang-kurangnya saya dapat menampung keperluan tiga anak kami yang masih kecil,” katanya.
Siti Aishah kini menanggung tiga anak berusia 13, 8 dan 4 tahun serta menyewa rumah dengan bayaran RM400 sebulan.
“Saya masih belum tahu bagaimana nak teruskan kehidupan selepas ini, mungkin akan bantu adik berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya. -PAHANGMEDIA

