Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mempertimbangkan untuk menambah nilai bantuan Barakah Haji Pahang kepada jemaah haji di negeri ini pada tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara ini juga akan dibincangkan dalam pembentangan bajet kewangan Kerajaan Negeri Pahang pada hujung tahun ini namun ia bergantung kepada keadaan.

“Saya merasakan bahawa rata-rata jemaah haji daripada Pahang yang berjumpa dengan saya ketika saya berada di Tanah Suci, melahirkan rasa syukur, gembira mereka kerana Kerajaan Negeri Pahang ada menyumbang sedikit duit poket dan mereka telah datang berjumpa dengan saya agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk tahun akan datang ini ditambah pemberian tersebut.
“Bagi saya tidak ada masalah, yang penting ialah kedudukan kewangan negeri berada dalam tahap yang baik dan mengizinkan dan Kerajaan Negeri akan fikirkan. Saya pun telah beritahu kepada YB. Pegawai Kewangan Negeri supaya memperhalusi perkara ini dan melihat kedudukan kewangan negeri mengizinkan atau tidak.
“Dan sekiranya keadaan mengizinkan, saya akan bawa dalam pembentangan bajet pada bulan Oktober atau November ini,” katanya.

Beliau berkata pertambahan nilai bantuan ini dilihat dapat membantu para jemaah ketika menunaikan ibadah haji memandangkan ia melibatkan tempoh yang lama.
“Dan sewajarnya kita beri bantuan sekiranya Kerajaan Negeri ada duit sebab mereka berada lama di sana dan boleh digunakan untuk perbelanjaan semasa berada di sana,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan RM1.66 juta kepada 1,725 jemaah haji tahun ini sebanyak RM750 seorang melalui bantuan Barakah Haji Pahang yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1446 Hijrah dan Awal Tahun 1447 Hijrah Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Masjid Al-Ikhwan, Rumah Keluarga Angkatan Tentera, Desa Tentera Darat Sri Panching, Kem 4 Briged Mekanize.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff. -PAHANGMEDIA

