Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan kehadiran Dewan Negeri Perak ke Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) bagi dijadikan rujukan pembinaan bangunan baharu di negeri tersebut.
Menurut YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, lawatan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak ini bagi meninjau dari segi pembinaan dan reka bentuk bangunan Dewan Negeri Pahang.
“Lawatan hari ini untuk mereka meninjau pembinaan bangunan baharu Dewan Negeri Pahang dan juga Kompleks Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah.

“Tujuan mereka adalah bagi membina dewan baharu di Perak dan tadi pada taklimat yang diberi, mereka sangat impress dengan bangunan yang merupakan salah satu ikonik baharu Kerajaan Negeri.
“Kita sangat mengalu-alukan dan kita juga rasa seronok kerana ada pihak yang menghargai dan mereka memuji bangunan ini yang cantik dan material yang dipilih, skim color yang dipilih menarik dan bertepatan, elegen dan nampak megah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kunjungan Hormat Lawatan Penanda Aras Pembinaan Bangunan Baharu Dewan Negeri Pahang oleh Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS).

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB. Dato’ Muhammad Zahir Dato’ Abdul Khalid; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen; dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Negeri Canning, YB. Cik Jenny Choy Tsi Jen.
Beliau berkata pusat pentadbiran baharu di Negeri Pahang ini juga mengikut spesifikasi keselamatan selain menyediakan infrastruktur fiber optik.
“Dan kita beritahu bangunan kita ini ikut spesifikasi iaitu dari segi keselamatan melibatkan keselamatan fizikal dan juga keselamatan siber.
“Kita juga menyediakan infrastruktur fiber optik yang dedicated hanya untuk pejabat Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

