Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 22 JUN 2025 : Sebanyak 112 unit pangsapuri Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Tanah Rata yang melibatkan bangunan setinggi 10 tingkat telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pemilik hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek ini merupakan antara tujuh projek PR1MA Pahang yang telah dirancang di Cameron Highlands dengan jumlah 2,690 kediaman.
Katanya, projek PR1MA Pahang Tanah Rata telah bermula pada Januari 2021 dan berjaya disiapkan mengikut jadual meskipun berdepan sedikit kelewatan akibat pandemik COVID-19.

“Saya ucapkan syabas, tahniah dan terima kasih kepada pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dan juga kepada pihak kontraktor kerana telah berjaya siapkan rumah ini seperti mana yang telah ditetapkan.
“Untuk pangsapuri 10 tingkat ini ada 112 unit kita mula bina pada Januari 2021 dan siap mengikut jadual kecuali ada kelewatan sedikit disebabkan oleh Covid. Hari ini kita serah kunci,” katanya selepas menyempurkan Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang Tanah Rata, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam masa sama turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah PR1MA Pahang Ringlet di mana sebanyak 240 unit rumah melibatkan dua block pangsapuri tujuh tingkat sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Julai nanti.
Tambah beliau, secara keseluruhan sebanyak 46 projek perumahan telah disiapkan di bawah inisiatif PR1MA Pahang, melibatkan peruntukan RM1.26 bilion dengan sebanyak 8,418 unit rumah telah diserahkan kepada penerima.
Katanya, permintaan terhadap projek perumahan Kerajaan Negeri terus meningkat termasuk projek Pangsapuri Pahangku di Bentong yang mendapat sambutan menggalakkan kerana lokasinya berhampiran stesen ECRL dan berdekatan Kuala Lumpur.

“Dan yang terkini saya akan pecah tanah untuk Pangsapuri Pahangku di Bentong yang terletak berhampiran dengan stesen ECRL.
“Dan ianya mendapat permintaan yang sangat banyak sebab dekat dengan Kuala Lumpur. Malahan yang duduk di Kuala Lumpur pun nak beli rumah Pangsapuri Pahangku,” ujarnya.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada pemaju yang berprestasi tinggi dalam melaksanakan projek perumahan akan datang.

Beliau berkata, kontraktor yang berjaya menyiapkan projek mengikut jadual atau lebih awal wajar diberikan penghargaan dan diberi keutamaan untuk projek seterusnya, namun tetap tertakluk kepada proses penilaian yang ditetapkan.
“Saya dapati kebanyakan projek yang terbengkalai disebabkan oleh pihak kontraktor. Dan ini menyusahkan rakyat dan dan juga menyusahkan wakil rakyat kerana pembeli-pembeli akan menyalahkan kepada wakil rakyat kerana rumah tidak disiapkan.
“Jadi saya rasakan mana-mana kontruktor yang boleh menyiapkan rumah dalam masa yang ditetapkan ataupun lebih awal, mereka ini harus dihargai dan diberi keutamaan untuk projek-projek lain,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

