Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 JUN 2025 : Rakyat perlu didedahkan dengan ilmu kewangan dan pelaburan sejak di bangku sekolah bagi membentuk generasi celik kewangan serta tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan palsu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, pendedahan awal dapat membina kefahaman yang kukuh mengenai pelaburan yang selamat dan berlesen.
“Kebelakangan ini, kejadian ‘scam’ semakin menjadi-jadi dan ramai orang tertipu, terpedaya dan hilang begitu banyak wang termasuk simpanan untuk hari tua. Ini satu trend yang amat membimbangkan.
“Kita perlu lawan trend ini dengan mengadakan satu kempen-kempen seperti hari ini untuk memberi penerangan dan pencerahan. Kita berharap perkara ini dapat diteruskan terutama sekali di peringkat bangku sekolah.
“Ini adalah pendapat peribadi saya, saya fikir ia perlu dipupuk dari peringkat awal supaya kita tidak mudah terpedaya dengan skim-skim cepat kaya ataupun skim-skim yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi hakikatnya ianya satu penyelewengan, satu penipuan yang amat dahsyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bersama InvestSmart®@Pahang 2025 anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di East Coast Mall, Kuantan, di sini semalam.
Program tiga hari bermula 20 hingga 22 Jun itu dianjurkan sebagai inisiatif pendidikan pelabur oleh SC bagi memperkasakan rakyat khususnya di Pantai Timur dengan ilmu pelaburan serta meningkatkan kesedaran mengenai penipuan pelaburan.
Sebanyak 40 reruai pameran melibatkan pelbagai agensi dan syarikat pelaburan menyertai program bertemakan ‘Bijak Labur Hidup Makmur’, termasuk penyertaan pelaburan patuh syariah bagi memberi keyakinan kepada umat Islam.
YB. Dato’ Mohamad Nizar berkata, program terbabit turut mempamerkan pelbagai peluang pelaburan yang sah, selamat dan telah ditapis oleh SC serta Bank Negara Malaysia.
“Ini membolehkan rakyat membuat keputusan bijak dan tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu, terutamanya dalam era teknologi seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan deepfake,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi SC, YB. Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata pendekatan turun padang secara langsung amat penting dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai risiko pelaburan tidak berlesen.
“Pemerkasaan kewangan bermula dengan pendidikan dan itulah matlamat InvestSmart®. Kita mahu membina generasi pelabur berpengetahuan dan berdaya tahan terhadap penipuan,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan, sebanyak 3,602 aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan dan aktiviti tidak berlesen diterima pada tahun 2024, iaitu peningkatan 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, sebanyak 1,218 aduan telah diterima SC,” tambahnya.
Selain reruai pameran, program turut menyediakan ceramah umum, sesi panel, zon anti-penipuan, dan lebih 100 sesi perancangan kewangan percuma melalui inisiatif #FinPlan4u®, yang dikendalikan perancang kewangan berlesen.
Program Bersama InvestSmart® kali ini merupakan yang pertama kali diadakan di Pahang, selepas penganjuran berjaya di Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah sejak diperkenalkan pada tahun 2014.-PAHANGMEDIA

