Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 9 JUN 2025: Seramai 43 delegasi dari negara-negara ASEAN telah tiba di negeri ini bagi menghadiri Mesyuarat Ke-8 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok.
Delegasi dari Singapura menjadi antara kumpulan terawal tiba di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Sebahagian besar delegasi lain pula tiba pada sebelah petang dan telah mendaftar masuk ke penginapan masing-masing bertempat di Hotel Zenith, di sini yang turut menjadi lokasi penganjuran mesyuarat.
YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor turut meluangkan masa meninjau persiapan akhir menjelang mesyuarat yang julung kali dianjurkan di bumi Pahang ini.

Mesyuarat rasmi dijadualkan bermula pada jam 9 pagi esok dengan sesi pembukaan yang akan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha Agung AIPA, YB. Ar. Siti Rozaimeriyanty Dato Haji Abdul Rahman, Setiausaha Agung AIPA.
Ia kemudiannya diikuti dengan ucapan Pembukaan oleh Presiden AIPA yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB. Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, dan seterusnya, pelantikan YB Dato’ Dr. Ramli sebagai Pengerusi AIPACODD.
Acara pada hari esok turut diserikan dengan acara utama iaitu Majlis Jamuan Diraja yang bakal berlangsung pada sebelah malam.
Majlis penuh istiadat itu akan diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah; Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj; dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar sebelum ini memaklumkan penganjuran persidangan ini bukan sahaja membuka peluang kepada negeri Pahang untuk diketengahkan kepada negara-negara ASEAN, malah menjadi platform penting dalam mempamerkan kemajuan negeri dalam pelbagai sektor. -PAHANGMEDIA

