Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 JUN 2025 : Sebanyak 2.85 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) sempena cuti perayaan Hari Raya Aidiladha yang dijangka disambut pada esok.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, jumlah itu diperoleh menerusi statistik yang dikeluarkan oleh pihak konsesi lebuh raya bagi tempoh antara 29 Mei hingga 9 Jun ini.

Beliau berkata, KLK mencatatkan anggaran 2.56 juta kenderaan, dengan purata harian sebanyak 176,800 kenderaan, manakala jumlah tertinggi dijangka berlaku pada 8 Jun ini, iaitu ketika orang ramai mula kembali ke bandar selepas cuti perayaan.
“Anggaran purata harian puncak adalah 176,800 dan anggaran tertinggi adalah pada 8 Jun ketika orang balik kerana Isnin sudah bekerja. Pada 8 Jun ini, kenderaan di KLK dijangka sebanyak 148,000.
“Manakala di LPT 1, anggaran purata dari 29 Mei sehingga 9 Jun adalah sebanyak 803,000 dan purata kenderaan 73,100. Dan puncak kenderaan pada 8 Jun ini berjumlah 97,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Plaza Tol Gambang, malam tadi. Hadir sama, Pengarah JPJ Pahang, YBrs. Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Tambahnya, program itu diadakan bersempena Ops Khas Aidiladha yang dijalankan mulai 4 hingga 10 Jun, sebagai sebahagian usaha berterusan JPJ dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

“Pihak JPJ melaksanakan program penguatkuasaan tegas terhadap sembilan kesalahan utama iaitu memandu melebihi had yang ditetapkan, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memotong di laluan kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong kanan secara berterusan, dan membawa muatan lebih,” katanya lagi.
Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan terhadap kenderaan pengangkutan awam bagi memastikan aspek teknikal, jadual perjalanan dan kebolehpercayaan perkhidmatan berada pada tahap memuaskan.

Beliau justeru itu menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi undang-undang lalu lintas dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
“Keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa sahaja, tetapi tanggungjawab bersama. Semoga perayaan ini disambut dalam suasana aman, harmoni dan selamat. Jadikan keselamatan sebagai keutamaan. Pandu cermat, sampai selamat,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

