Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 05 JUN 2025 : Seramai 80 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai diraikan sebagai tanda penghargaan di atas kejayaan mereka memperoleh A di dalam peperiksaan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan, program yang julung kali diadakan secara besar-besaran di kawasan berkenaan juga sebagai pencetus semangat kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan sama tahun ini.
“Hari ni Majlis Anugerah dan Penghargaan Kepada Anak Didik DUN Guai Bagi Lepasan SPM 2024, seramai 80 pelajar direkodkan dan yang hadir hampir 50 pelajar.
“Kita bagi penghargaan bukan sekadar yang dapat straight A, tapi asalkan ada A walau satu pun kita bagi juga penghargaan.
“Sebelum ini ada juga kita bagi, tapi kita hantar ucapan tahniah dan bunga sahaja, tak ada kumpulkan ramai-ramai dalam satu tempat macam hari ini dan insyaAllah kita cuba teruskan ia sebagai acara tahunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah dan Penghargaan Kepada Anak Didik DUN Guai Bagi Lepasan SPM 2024 di Dewan Paya Luas.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation Management Center, YH. Dato’ Abdul Rahim Ahmad; dan wakil Pegawai Daerah Bera, Encik Muhammad Ammar.
Beliau berkata selain anugerah dan penghargaan yang dilakukan dalam majis berkenaan, pihaknya juga menyediakan kaunter taklimat dan permohonan melanjutkan pelajaran daripada universiti dan kolej di negeri ini.
“Dan pada hari ini juga panggil IPTA, IPTS daripada seluruh Negeri Pahang seperti UNITEN, UCYP, Pahang Skill dan lain-lain untuk memberi taklimat atau informasi bagaimana nak masuk ke dalam institusi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, menurut penerima anugerah, Noornazeera Alya Razeni, 18, yang memperoleh 8A dalam peperiksaan SPM, melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang diatas sumbangan yang diberikan.
“Terima kasih Kerajaan Negeri sebab bagi macam-macam bantuan semasa sekolah dulu sampai hari ini,”katanya dari Pos Iskandar dan merupakan pelajar SMK Seri Bera. -PAHANGMEDIA

