Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 05 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli termasuklah dalam aspek pembelajaran.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ia selari dengan hasrat YAB. Menteri Besar Pahang yang sentiasa memastikan kebajikan Orang Asli di negeri ini sentiasa diberi perhatian.
“Sebagaimana hasrat YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk ORACO (Pahang Orang Asli Corporation) memastikan kebajikan Orang Asli itu diseluruh Pahang dapat diberi perhatian.

“Pelajar yang dah masuk universiti, ORACO bagi mereka laptop untuk membantu mereka belajar sebab kita tahu di universiti ini pembelajaran masa kini memerlukan bantuan laptop untuk kerja-kerja pembelajarannya.
“Bagi masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan satu laptop yang bernilai RM2,500 ke RM3,000 itu mungkin sulit, jadi kita akan cari mana sahaja pelajar Orang Asli yang masuk universiti, kita bantu,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga meraikan kejayaan yang dicapai oleh pelajar Orang Asli di negeri ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang lalu.
“Jadi hari ini giliran di daerah Temerloh, kita adakan program yang diaturkan oleh ORACO bagi meraikan anak-anak Orang Asli yang berjaya didalam peperiksaan SPM yang dapat 5A, 6A, 7A dan straight A.

“ORACO memberikan pada pelajar yang dapat A setiap satu A, RM100, makna kalau dia dapat 8A RM 800, 9A RM900 dan 10A dia akan dapat RM1,000,” katanya.
Beliau berkata para pelajar juga boleh memohon sumbangan secara terus melalui pihak yang mengurus kebajikan Orang Asli atau melalui Tok Batin di kawasan masing-masing bagi memastikan keperluan mereka untuk belajar dapat dipenuhi.
Seramai 54 pelajar cemerlang diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Orang Asli 2024 yang berlangsung di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim manakala 16 orang pelajar Orang Asli terpilih menerima Inisiatif Makmur Pahang.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, YB. Senator Ustaz Shahrol Wizan Sulong; dan Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah. -PAHANGMEDIA

