Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 01 JUN 2025 : Penggantian kabel Gentian Plastik Fiber (FRP) melibatkan kawasan dikenalpasti kerap berlaku kerosakan bermula dari Bandar Jerantut sehingga ke Kampung Gusai sejauh kira-kira 120 kilometer dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung suku ketiga tahun ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, penggantian ke kabel FRP yang lebih berkualiti serta berdaya tahan.

“Kerosakan pada kabel gentian optik berpunca dari gangguan haiwan liar seperti gigitan tupai, monyet bergayut, runtuhan dahan pokok dan bencana alam seperti tanah runtuh yang mengakibatkan kabel putus dan tiang kabel tumbang.
“Pelaksanaan kerja baik pulih dengan penggantian ke kabel FRP yang lebih berkualiti serta berdaya tahan bagi mengurangkan dedahan risiko kerosakan terutama di lokasi yang dikenalpasti kerap berlaku kerosakan.
“Pelaksanaan penyenggaraan di keseluruhan jajaran yang terlibat giat dilaksanakan secara berterusan bermula dari Bandar Jerantut sehingga Kampung Gusai sejauh kira-kira 120 kilometer. Kerja baik pulih telah bermula pada Mac 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung suku ketiga 2025,” katanya.

Beliau berkata pihak MCMC juga akan mengadakan pemeriksaan berkala untuk memastikan peralatan stesen pemancar berada dalam keadaan yang baik dengan bekalan elektrik yang stabil.
“Kerosakan peralatan penerus kuasa (power rectifier) diakibatkan oleh bekalan elektrik yang tidak stabil ke stesen pemancar, di samping penggunaan bateri untuk peralatan stesyen
pemancar perlu digunakan sebagai bekalan kuasa sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Mat Daling pada lawatan kerja bersama MCMC di sekitar Ulu Tembeling.
Turut hadir, Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC, YBhg. Tuan Haji Bukhari Yahya; dan Pengarah MCMC Negeri Pahang, YBrs. Encik Shahrizal Husin. -PAHANGMEDIA

