Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 31 MEI 2025 : Pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi di stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini berada pada peringkat perancangan dan akan dijalankan seiring dengan kemajuan projek ECRL di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim, projek yang memberi tumpuan bagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam lingkungan radius 15 kilometer dari setiap stesen ECRL ini akan dimulakan dengan stesen di Bentong.

“Kita di Pahang ini ada tujuh stesen dan pastinya kesemua stesen ini akan wujud bandar-bandar baru dan kita pun dah merangka pembangunan di ketujuh-tujuh stesen ini yang sudah pasti akan memberi impak yang positif kepada ekonomi Negeri Pahang.
“Yang kita fokus sekarang ini di (stesen) Bentong sebab di Bentong ini paling hampir sekali dengan Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Dan di situ dululah yang akan kita fokus.
“Kita akan wujudkan Pangsapuri Pahang, kita buat yang pertama di Bentong dahulu. Sekarang di peringkat perancangan dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Ini termasuk industri, penempatan di bandar baru ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang memberi fokus kepada pembangunan pusat pertumbuhan baharu di kawasan sekitar stesen ECRL terutamanya di Bentong bagi memberi kemudahan kepada mereka yang menetap di Bentong tetapi bekerja di Kuala Lumpur.
“Bila ada Pangsapuri Pahang, jadi orang Pahang yang bekerja di Kuala Lumpur boleh berulang hari-hari sebab daripada Bentong ke Kuala Lumpur menggunakan ECRL hanya 15 minit.
“Kita sekarang berada pada peringkat teknikal sebelum memulakan pembangunan di kawasan pusat pertumbuhan baharu di stesen Bentong,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan projek ECRL juga kini berada pada landasan yang tepat dan dijangka dapat diselesaikan mengikut jadual pada penghujung tahun hadapan dengan kemajuan keseluruhan sebanyak 82.45 peratus setakat ini.
Beliau dalam lawatan tersebut turut menaiki tren dari stesen Gebeng ke KotaSAS dan kembali ke Gebeng bersama Naib Presiden The Institution of Engineers, Malaysia (IEM), Ir. Prof. Dr. Tan Chee Fai; Naib Presiden IEM, Dato’ Ir. Wan Nazari Wan Jusoh; Pengerusi IEM Pahang, Ir. Harzah Masni Ramli; Naib Pengerusi 1 IEM Pahang, Ir. Dr. Azhani Zukri; IEM Terengganu, Ir. Zahid Suffian; IEM Kelantan, Ir. Che Sufian Che Hussin; dan Pengurus Besar China Communication Construction (CCC), Encik Dang Yayun. -PAHANGMEDIA

