Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 JUN 2025: Penganjuran Karnival Nostalgia AutoFest merupakan usaha berterusan dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial negeri melalui pendekatan yang inklusif dan berdaya saing di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, program yang diadakan ini juga selaras dengan aspirasi Makmur Pahang yang digariskan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

“Strategi perniagaan dengan nilai sebegini selaras dengan aspirasi Makmur Pahang, yang menekankan pembangunan holistik dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Makmur Pahang bukan hanya sekadar slogan, tetapi satu gagasan yang merangkumi kemajuan infrastruktur, peningkatan taraf hidup, pengukuhan ekonomi rakyat, dan perpaduan komuniti.

“Karnival seperti ini menyumbang ke arah pencapaian matlamat tersebut, bukan sahaja sebagai platform jualan dan hiburan, tetapi juga sebagai platform pendidikan, jaringan sosial dan dorongan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Karnival Nostalgia AutoFest YS Autoworld 2025, selaku wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

YB Dato’ Ir. Razali turut meluangkan masa melawat gerai-gerai jualan yang disediakan dan beramah mesra dengan orang ramai pada program yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam di Proton YS Autoworld 4S Kuantan.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pahang, Tuan Mohd Rizal Ismail; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Cik Chan Wei Chi; dan Ketua Bahagian Rujukan Dan Maklumat Perpustakaan Awam Pahang, Tuan Khairul Azhar Tuan Kuning. -PAHANGMEDIA

