Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang untuk mengendalikan kursus khas berkaitan acara e-sukan sebagai usaha untuk memperkasa dan mengembangkan industri e-sukan di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, cadangan ini dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi membuka ruang kepada penambahbaikan acara e-sukan di negeri ini.

“Baru perbincangan awal, tapi saya harap ianya dapat dilaksanakan, diketuai oleh Yayasan Pahang, kita libatkan juga Majlis Sukan Pahang dan Jabatan Belia dan Sukan Pahang dan kita tengok ada ruang penambahbaikan untuk sukan e-sport Negeri Pahang ini termasuk melibatkan persatuan dan kelab yang ada.
“Saya nak kelab persatuan, dan mereka yang terlibat dalam industri e-sport di Pahang ini mendapat bimbingan yang betul, hala tuju yang jelas, keperluan-keperluan yang menjadi kemestian sekarang bukan sahaja dari segi sijil kelayakan tertentu tapi bagaimana nak menguruskan sukan ini dengan cara yang betul,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Program Aokmer E-sports ini dilihat berpotensi menjadi platform penting untuk mencungkil bakat tempatan serta melahirkan pemain e-sukan profesional yang berdaya saing.
“Program Aokmer E-sports mampu menjadi platform penting dalam mencungkil bakat tempatan dan melahirkan pemain e-sport profesional yang berdaya saing.
“la juga mencerminkan komitmen padu Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang dalam menyokong pembangunan industri e-sukan diperingkat nasional bahkan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Aokmer E-sport @yp di Kompleks Yayasan Pahang.
YB. Tuan Fadzli kemudiannya turut beramah mesra dengan para peserta yang berentap dalam Pertandingan MLBB, e-Football Mobile dan e-Football Console dalam pertandingan berkenaan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Abd Razak Abu Musa Saari; Pengarah GamesMY X Sdn. Bhd., Tuan Muhammad Syamsul Helmi Mat Yusof; dan Ketua Hal Ehwal Universiti Malaysia E-sport Federatiom (MESF), Tuan Luqman Haqim Mat Hasan. -PAHANGMEDIA

