Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 29 MEI 2025 : Program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang (PSRM) menjadi satu inisiatif bagi mendekati dan mendalami sebarang permasalahan yang dihadapi penduduk setempat.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, pelaksanaan inisiatif bagi memastikan sebarang bantuan serta program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang dapat disampaikan dan difahami secara terus oleh rakyat.

“Saya lihat ada beberapa perkara yang boleh ditambahbaik terutamanya dari segi macam mana rakyat ingin mendapatkan bantuan. Contohnya kampungnya jauh daripada pusat pentadbiran daerah, dia nak pergi pun dah jadi masalah.
“Jadi peranan Ketua Kampung sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri khususnya dan ia memudahkan keadaan, memberi maklumat supaya sampai kepada sasaran. Kita tak nak orang kata apa yang Kerajaan Negeri laksanakan indah khabar dari rupa. Seperti mana kata YAB Menteri Besar Pahang, tiada janji, lihat bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Townhall Bersama Rakyat di Dewan Sri Lanchang yang turut dihadiri YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli; dan ketua-ketua jabatan.
Beliau berkata sebarang pertanyaan dan permasalahan yang diutarakan penduduk juga akan direkodkan dan dijawab secara bertulis bagi memastikan ia diselesaikan dan diambil maklum oleh pihak berkaitan.

“Di sini saya ambil pendekatan supaya lebih berkesan, apa-apa soalan yang dibangkitkan oleh mereka, kita akan jawab secara bertulis.
“Saya tak nak perkara ini habis begitu sahaja dan pihak bertanya akan terus memantau jawapan kepada soalan, apa tindakan yang Kerajaan buat selanjutnya,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa berpuas hati dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kawasan Lanchang pada sesi kali ini yang mencatatkan kehadiran lebih 700 orang.
Sebelum itu, beliau turut menziarahi lima rumah dikenalpasti di daerah ini pada Program Ziarah Makmur daripada 400 buah rumah yang dilawati 37 kumpulan secara keseluruhan pada hari ini. -PAHANGMEDIA

