Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2025 : Ibu kepada kanak-kanak perempuan yang ditemukan lemas di muara Sungai Balok Sabtu lalu akan menggunakan sumbangan yang diterima untuk membuat tahlil untuk arwah anaknya, Nur Afia Ramadhannie Zolkurnain, 7.
Ibu, Puan Masitah Latipah Adam, 42, berkata, tidak hanya itu, sumbangan yang diterima juga akan digunakan untuk membina ‘rumah’ yang cantik untuk anak ketujuh dari lapan beradik itu.
Puan Masitah berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian anak perempuannya yang disifatkan sebagai seorang anak yang sangat baik.

“Afia ini budak baik. Kalau keluar rumah tak pernah tak pakai tudung. Mesti nak pakai tudung dengan baju lengan panjang. Kalau tak pakai tudung, dia tak turun (keluar) rumah.
“Balik sekolah, terus dia mandi dan pergi mengaji. Tak pernah pun nak menyusahkan saya, pakaian, baju seluar semua dia (urus) sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Ular hari ini.
Dalam pada itu, Puan Masitah sekeluarga menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan yang hadir bagi menyampaikan sumbangan peribadi dan bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.
Hadir sama, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad dan barisan pimpinan setempat.

YB. Dato’ Sabariah berkata, pihak JKM Pahang telah memberikan bantuan segera kepada keluarga mangsa selain akan mempertimbangkan untuk memberi sumbangan Tabung Malapetaka Daerah (TMD).
Beliau dalam masa sama mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di pantai, sungai mahupun air terjun bersama keluarga.
“Keluarga (mangsa) saya nampak memang sudah reda, sudah menerima kenyataan. Tapi itulah, beringatlah kalau kita pergi ke pantai. Bukan sahaja pantai, malah juga air terjun kerana tempat-tempat seperti itu kita tak jangka (musibah). Kalau kita tahu bahaya itu, kita memang tidak pergi.
“Pantai (lokasi kejadian) itu, tempat dekat dengan rumah (mangsa) dan saya difahamkan mereka pergi mencari kepah… musim (kepah). Cuma kalau ada yang berhajat pergi manda-manda di pantai, atau sungai, dan air terjun itu, berhati-hatilah. Dan kalau bawa anak itu, berjaga-jagalah,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

