Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 10 MEI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Rakyat bertempat di dataran Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Simpang Pelangai, di sini hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.

Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan kurnia kepada 100 penerima terdiri dalam kalangan golongan asnaf.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata seramai kira-kira 3,500 tetamu terdiri dari pelbagai kaum membanjiri majlis berkenaan.

Beliau dalam persembahan ucapannya menzahirkan rasa berbesar hati dan terharu atas perkenan Paduka Baginda bercemar duli berangkat ke daerah Bentong khususnya Pelangai hari ini.
βKeprihatinan dan juga kecaknaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku untuk bersama rakyat jelas dilihat melalui perkenan Tuanku bercemar duli berangkat ke majlis ini,β katanya.

Tambahnya, keberangkatan Paduka Baginda ke Pelangai pada hari ini bukan sekadar simbol kasih Paduka Baginda terhadap rakyat tetapi juga pembakar semangat kepada semua rakyat untuk terus membangunkan kawasan ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

