Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 28 APRIL 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan dari Universiti Yarmouk, Jordan.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh President Of Yarmouk University, Prof Dr Islam Massad hari ini.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, pengiktirafan terbabit melambangkan hubungan strategik erat yang telah lama terjalin antara Kerajaan Negeri Pahang dan Universiti Yarmouk sejak 2001 menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan Universiti Yarmouk bagi menghantar anak-anak Pahang melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam.
Katanya, hubungan itu terus diperkukuhkan dengan penubuhan Kursi Pahang di universiti berkenaan pada tahun 2011, yang berperanan menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Selepas 14 tahun, kerjasama dua hala terus diperkukuhkan lagi dengan majlis menandatangani MoU Kursi Pahang dengan universiti berkenaan pada hari ini.
“Sehingga kini, seramai 363 anak-anak Pahang telah menamatkan pengajian di Universiti Yarmouk, manakala 78 lagi masih lagi meneruskan pengajian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, beliau percaya hubungan akademik antara Pahang dan Universiti Yarmouk mampu diperluaskan lagi ke bidang penyelidikan bersama, inovasi ekonomi Islam, teknologi hijau serta pembangunan lestari.
“Ia sejajar dengan aspirasi menjadikan Pahang sebagai model negeri maju berteraskan MaqasidSyariah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.
Tambahnya, dalam syarahan umum bertajuk “Islamic Economics and the Future of Inclusive Development: The Pahang Model,”, beliau berkongsi bagaimana prinsip ekonomi Islam diterapkan dalam dasar pembangunan negeri Pahang.
“Melalui pendekatan berteraskan tawhid, rubuubiyyah, khilafah, dan tazkiyyah, Pahang berusaha membina ekonomi yang seimbang, memacu pertumbuhan serta memastikan keadilan sosial, kelestarian alam, dan pembangunan insan.
“Ini dapat dilihat dengan prestasi cemerlang Kerajaan Negeri Pahang, khususnya sejak tahun 2018, yang melibatkan peningkatan ekonomi yang konsisten setiap tahun, terutamanya peningkatan kutipan hasil melebihi RM1 bilionserta pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM64.9 bilion pada tahun 2023.
“Ini dicapai melalui kestabilan politik, dasar mesra pelabur, dan usaha memastikan pembangunan yang inklusif serta mampan,” ujarnya.

Pada masa sama katanya, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pengukuhan syiar Islam, pembangunan komuniti Orang Asli, pemeliharaan alam sekitar serta bantuan kebajikan rakyat menerusi Inisiatif Makmur Pahang.
Beliau justeru itu berharap hubungan erat antara Kerajaan Negeri Pahang dan Universiti Yarmouk akan terus diperkukuhkan sekali gus berharap lebih ramai anak-anak Pahang akan mengambil peluang melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk dan memanfaatkan ilmu serta pengalaman untuk kemajuan negeri dan negara.
“Semoga kerjasama ini memperkukuhkan bidang penyelidikan dan pembangunan berlandaskan nilai-nilai Islam dan prinsip Maqasid Syariah, seterusnya menjadikan Pahang sebuah negeri yang berjaya dan berdaya saing di peringkat nasional dan global,” katanya lagi. – PAHANGMEDIA

