Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri sedang mempergiatkan usaha untuk mendapatkan peruntukan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaiktaraf kemudahan lampu limpah serta menambah bilangan tempat duduk di keseluruhan Stadium Darul Makmur.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan terbabit merupakan satu keperluan mendesak ketika ini justeru berharap agar pihak KBS dapat mengambil tindakan segera bagi meluluskan permohonan peruntukan ini.
“Saya menyedari bahawa usaha pemodenan Stadium Darul Makmur ini bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan peruntukan yang besar serta sokongan daripada pelbagai pihak.
“Kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak amatlah diperlukan bagi memastikan perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya. InsyaAllah, selepas ini kita akan memastikan salah satu mercu Negeri Pahang iaitu Stadium Darul Makmur akan terus terpelihara, kelihatan cantik, digunakan sepenuhnya dan mengikut arus pemodenan terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zudin dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, Perbadanan Stadium Darul Makmur ketika ini sedang giat melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur sebagai usaha memastikan stadium kekal relevan dan berevolusi selepas lebih lima dekad penubuhannya.
Antara usaha utama yang sedang dilaksanakan ialah penghasilan Pelan Strategik Stadium Darul Makmur 2025-2030 hasil kerjasama dengan Yayasan Pahang yang akan menjadi panduan utama dalam menentukan hala tuju Perbadanan Stadium Darul Makmur bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Pelan ini bertujuan memperkukuhkan peranan stadium sebagai pusat sukan, rekreasi, dan ekonomi yang dinamik, dengan fokus kepada pembangunan kemudahan, peningkatan kecekapan pengurusan, serta penciptaan peluang kerjaya bagi komuniti tempatan dan pihak berkepentingan,” katanya lagi.
Selain itu, YB. Tuan Fadzli berkata, antara kerja penambahbaikan lain juga termasuklah pembaharuan terhadap sistem siaraya stadium yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat di mana kali terakhir kemudahan itu dinaik taraf adalah pada tahun 2012 sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Pahang.
“Kini, telah hampir 13 tahun tidak membuat perbaharuan penukaran sistem siaraya terbabit. Pihak perbadanan Stadium Darul Makmur akan membuat penukaran baru kemudahan sistem siaraya itu untuk keselesaan pengguna yang melakukan aktiviti di bangunan Stadium Darul Makmur,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

