Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Kerajaan dalam usaha untuk melengkapkan Perkhidmatan Kepakaran Hospital Minor di Hospital Bentong dengan 10 perkhidmatan pakar yang berfungsi sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, ketika ini hanya perkhidmatan Pakar Obstetrik dan Ginekologi sahaja masih belum ditempatkan di hospital berkenaan.
“Perancangan ini turut melibatkan pembangunan fasiliti dari aspek penambahan jumlah katil, dewan bedah dan kemudahan rawatan kritikal bagi memastikan kes-kes yang dirujuk dapat dirawat dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, melalui Pelan Induk Pembangunan Fasiliti Hospital Negeri Pahang oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, satu cadangan untuk membina hospital gantian bagi Hospital Bentong di tapak baharu turut dibincangkan.
“Cadangan ini telah dibentangkan kepada Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan telah dipersetujui untuk dilaksanakan mengikut keutamaan yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, Hospital Bentong turut menyediakan perkhidmatan dialisis kepada masyarakat sekitar daerah Bentong melalui Pusat Dialisis Kerajaan dan Swasta.
“Jumlah pesakit yang menerima perkhidmatan ini bagi daerah Bentong adalah sebanyak 50 orang di fasiliti Haemodialisis Kerajaan dan seramai 69 orang di fasiliti Hemodialisis Swasta.
“Seramai 312 orang pesakit sedang mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Nefrologi yang dilaksanakan oleh Pakar Nefrologi di Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan yang masih dalam pemantauan dan belum memerlukan rawatan dialisis,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

