Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Sebanyak 276 unit kiosk di bawah program MyKiosk 2.0 akan dimuktamadkan penyerahannya kepada penyewa atau peserta menjelang Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jumlah itu merangkumi permohonan yang diterima daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.
“Kerajaan negeri bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bahagian kerajaan tempatan telah meminta setiap PBT menghantar permohonan mengikut keperluan di kawasan masing-masing.
“Di Temerloh sahaja, sebanyak 113 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 93 unit telah diserahkan kepada penyewa, manakala baki 20 unit lagi akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, YB. Tuan Woo Chee Wan dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan ADUN Tanjung Lumpur, YB. Dato’ Haji Rosli Abdul Jabar berhubung kadar sewa kiosk, beliau menjelaskan bahawa program MyKiosk 2.0 bukan sahaja memperbaharui reka bentuk kiosk yang lebih tahan lama dan estetik, malah tidak melibatkan kenaikan sewa.
“Kiosk baharu menggantikan kiosk lama dengan kadar sewa RM200 sebulan dan tiada peningkatan sewa dikenakan. Ia bergantung kepada keputusan pihak PBT dan kadar maksimum yang ditetapkan ialah RM300 sebulan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain mengenai kiosk yang terbiar dan aduan kadar sewaan tinggi, beliau berkata, kiosk ditawarkan secara percuma untuk tempoh enam bulan.
“Sekiranya tidak digunakan dengan baik, PBT akan mengeluarkan notis dan mengambil tindakan yang sesuai. Setakat ini tiada aduan diterima berkaitan kadar sewaan, namun saya menggalakkan agar sebarang aduan dikemukakan terus kepada PBT,” katanya.
Program MyKiosk 2.0 merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan niaga yang lebih sistematik dan selesa kepada usahawan kecil di negeri ini. -PAHANGMEDIA

