Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 20 APRIL 2025 : “Rasa gembira sebab Kerajaan bantu kita banyak,” kongsi salah seorang peserta haji Puan Iteh Mat Noor selepas menerima bantuan Barakah Haji Pahang.
Puan Iteh, 83, dari Felda Jengka 11 turut melahirkan rasa gembira dan syukur kerana terpilih menjadi peserta haji setelah menunggu sejak dahulu lagi.
“Alhamdulillah rasa seronok. Sebelum ini dah tiga kali panggil dah tapi tak boleh juga nak pergi, alhamdulillah.

“Baru ni yang masa COVID dulu tu 3 tahun dah dipanggil kata umur lebih dari 70 (tahun) dia tak bagi pergi haji, tak jadi lah, kita pun tolak lah panggilan. Yang ini lah baru kita ambil,” katanya.
Sementara itu, menurut Amsyar Muhamad Razaki,, 16, yang merupakan jemaah termuda dari negeri ini berkata panggilan haji yang diterima ini hasil daripada pembukaan akaun haji oleh ibu bapanya sejak awal.
“Saya rasa gembira sebab terpilih dapat pergi haji dengan mak dan abang saya. Mak daftar untuk saya pergi haji masa tu umur 2 bulan. Waktu darjah enam pun mak dah pernah cakap pasal daftar haji ni, tapi saya tak ambil serius pun sebab saya ingat dia main-main.

“Tapi naik tingkatan tiga dah kena panggil (Tabung Haji) dan kena kursus semua, saya ambil serius la perkara tu.
“Persiapan alhamdulillah dah sedia dengan mental fizikal. Boleh dikatakan saya dah bersedia sejak setahun lepas,” kata pelajar SMK Muadzam Shah ini.
Seramai 1,725 orang jemaah haji dari Pahang akan turut serta bersama-sama 31,600 orang jemaah haji Malaysia pada musim haji tahun ini.
Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan RM1.66 juta kepada 1,725 jemaah haji tahun ini melalui bantuan Barakah Haji Pahang yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya selain membekalkan buku doa Arafah serta pek makanan sedia dimakan kepada semua jemaah haji dari negeri ini. -PAHANGMEDIA

