Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan kebimbangan terhadap penularan fahaman sesat, ajaran menyimpang dan tafsiran agama yang keliru, khususnya menerusi medium digital yang semakin berleluasa tanpa sempadan.
Titah Baginda, perkara itu amat membimbangkan kerana ia boleh merosakkan akidah umat Islam serta mencemarkan kesucian agama Islam sekiranya tidak dibendung dari awal.
“Beta berharap agar pentadbiran Kerajaan Beta mengambil langkah yang lebih proaktif dan berani dalam memberikan pendedahan dan kefahaman yang tepat kepada masyarakat tentang ancaman ini.
“Jangan sampai akidah ummah dipermainkan, dan kesucian Islam dinodai oleh tangan yang tidak bertanggungjawab,” titah Paduka Baginda ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Paduka Baginda turut menasihati umat Islam supaya lebih berhati-hati dalam menuntut ilmu agama, khususnya di platform media sosial yang tidak dapat dikawal sumber dan kandungannya.
“Dalam menuntut ilmu agama, semak dan tapislah sumbernya. Usah dibiarkan laman sosial menjadi medan tauliah, sedangkan yang berkata-kata belum tentu ahli ilmu,” titah Paduka Baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah turut berharap agar pihak bertanggungjawab merangka program dakwah yang komprehensif dan inklusif, melibatkan semua lapisan masyarakat.
“Dakwah yang berkesan adalah dakwah yang hidup, yang menyentuh hati, dan yang relevan dengan keperluan semasa. Islam itu rahmat bagi sekalian alam; maka janganlah rahmat ini ditutupi oleh kabus penyelewengan dan fitnah,” titahnya. -PAHANGMEDIA

