Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri memberi keutamaan dalam melaksanakan projek tebatan banjir yang telah diluluskan di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah ia melibatkan 15 projek berimpak tinggi dalam rangka pembangunan lembangan sungai bersepadu (PLSB) serta rancangan tebatan banjir (RTB) di seluruh Pahang.
“Demi menjamin keselamatan rakyat beta terutamanya di musim tengkujuh, beta memohon agar orang tua beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, dapat memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek tebatan banjir yang telah diluluskan.
“Terdapat 15 projek berimpak tinggi dalam rangka pembangunan lembangan sungai bersepadu (PLSB) dan rancangan tebatan banjir (RTB) di seluruh negeri beta. Antaranya di Sungai Kenau, Pekan Sungai Lembing; Sungai Dong, Raub; dan Sungai Jelai (Fasa 1), daerah Lipis,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan harapan yang tinggi agar projek ini dapat dilaksanakan dengan segera dan ia juga dapat menjadi penanda Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat.
“Beta menaruh harapan yang tinggi agar semua projek ini dilaksanakan dengan segera, berkualiti, dan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Janganlah kita terlambat bertindak, hanya setelah musibah menimpa. Cegah sebelum parah, itulah tanda kerajaan yang bijak dan berjiwa rakyat,” titah baginda.
Baginda juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas penyaluran peruntukan kepada nilai alam.
“Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keperihatinan dan penyaluran peruntukan Ecological Fiscal Transfer For Biodiversity Conservation (EFT) kepada negeri beta melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Ini merupakan langkah bijaksana dalam menghargai nilai alam yang tidak ternilai, satu anugerah ilahi yang menjadi sumber kehidupan dan kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang,” titah baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar peruntukkan yang disalurkan ini dapat diagihkan secara cekap dan telus bagi melindungi, memulihara, dan mewartakan kawasan ekosistem di negeri ini.
“Beta berharap agar setiap sen peruntukan ini dapat diagihkan secara cekap dan telus kepada jabatan dan agensi berkaitan bagi melaksanakan program pengurusan ekologi yang menyeluruh, melindungi, memulihara, dan mewartakan kawasan-kawasan strategik yang menyumbang kepada perkhidmatan ekosistem termasuklah kawasan daratan, air tawar, pesisir pantai, dan perairan marin,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ni. -PAHANGMEDIA

