Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa bangga atas komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.
Titah Paduka baginda, pemberian rumah sama ada secara percuma atau dijual dengan harga yang sangat berpatutan menunjukkan bahawa rakyat negeri ini tidak diabaikan dalam soal keselesaan dan keselamatan tempat tinggal.
“Beta berbangga dengan komitmen kerajaan untuk terus menyediakan rumah mampu milik melalui pelbagai program seperti Rumah Rakyat Pahang, PR1MA Pahang, Rumah Makmur, Rumah Mesra Pahang (RMP), Pangsapuri PahangKu dan RURASA: Program Usahasama dengan Raja UAE,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Paduka baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang terus menjunjung aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, dengan menampilkan pendekatan yang berimpak tinggi dan holistik.
“Sepertimana tahun-tahun sebelum ini, Program Bantuan Prihatin Pahang telah dijenamakan semula sebagai Inisiatif Makmur Pahang (I.M. Pahang); suatu payung kebersamaan yang memayungi segala lapisan masyarakat, daripada bayi yang baru melihat dunia, hinggalah warga emas yang meniti usia senja,” titah Paduka Baginda lagi. -PAHANGMEDIA

