Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 16 APRIL 2025 : Seorang ahli perniagaan dan pekerjanya didenda RM100,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah membersih tanah kerajaan seluas 0.101 hektar secara haram di Kampung Seberang Jelai, Lipis pada November tahun lepas.
Tertuduh, Bong Jau Chong, 79, dan pemandu jengkaut, Chong Teck Kong, 62, turut berdepan hukuman 12 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda seperti mana yang diperintahkan Hakim Mahkamah Sesyen Raub, Noor Aisah Mohamed.
Noor Asiah dalam prosiding berkenaan turut memerintahkan kesemua jentera yang disita pada masa kejadian dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang.

Menurut fakta kes, berdasarkan risikan dan serbuan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 21 November 2024 lebih kurang 3 petang, pihak UPNP mendapati kawasan berkenaan telah dibersihkan oleh seorang individu menggunakan sebuah jengkaut.
Semakan mendapati tiada sebarang kelulusan untuk membersihkan kawasan tanah tersebut diberikan dan pihak UPNP seterusnya menahan dua individu iaitu pemandu jengkaut serta individu yang memberikan arahan kawasan tersebut dibersihkan.
Hasil siasatan mendapati pemandu jengkaut, Chong Teck Kong telah menerima arahan daripada Bong Jau Chong untuk membersihkan kawasan tanah seluas lebih kurang 0.25 ekar yang terletak bersebelahan dengan lot tanah miliknya.
Pemeriksaan di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lipis serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mendapati kawasan tersebut berada di atas tanah kerajaan dan tidak berada di dalam mana-mana lot yang diukur halus.
Pegawai Pendakwa dari UPNP, Taqiuddin Azizan turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada tertuduh berdasarkan pindaan hukuman di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara oleh Parlimen Malaysia yang menunjukkan tahap keseriusan kes pencerobohan tanah yang berlaku di negara ini.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Lim Zi Shin mengaku bersalah dan merayu pihak mahkamah meringankan hukuman memandangkan kedua-dua tertuduh tidak melakukan kesalahan jenayah yang berat dan hanya membersihkan tanah yang terletak bersebelahan tanah milik tertuduh bagi menghalang haiwan liar masuk.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 425(1)(b) dan Seksyen 426C(3) Kanun Tanah Negara Akta 828 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan, dan perintah untuk pelucuthakkan benda. -PAHANGMEDIA

