Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 11 APRIL 2025 : Anak Pahang yang berada di perantauan dijemput memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2025 yang akan diadakan pada 14 April ini bertempat di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
Program yang dijadualkan berlangsung Isnin ini bermula jam 8 malam hingga 11 malam.
Majlis dianjurkan bertujuan mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturrahim sesama anak Pahang yang menetap, bekerja atau belajar di luar negeri ini.
Majlis itu juga merupakan peluang terbaik untuk para perantau berkumpul dan merayakan Syawal dalam suasana penuh keriangan serta muhibah.
Tetamu juga berpeluang untuk bertemu YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang turut hadir memeriahkan lagi majlis berkenaan.
“Moh rodong-rodong anak Pahang di perantauan Tokwan jemput semua hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2025.
“Ayuh kita raikan Syawal bersama dalam suasana penuh keriangan dan silaturrahim,” katanya. -PAHANGMEDIA

