Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 24 MAC 2025 : Kawasan berhampiran Jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang) di Raub yang menjadi tumpuan peniaga nangka dilaporkan sebagai lokasi berisiko tinggi berlaku kemalangan, terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Penghulu Mukim Gali 2, Encik Mohd Azmil Haron berkata, kehadiran peniaga yang menjalankan perniagaan di bahu jalan terbabit menambah risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Walaupun tiada kemalangan direkodkan secara khusus di lokasi peniaga nangka yang tular di media sosial semalam, namun kemalangan pernah berlaku dalam jarak 100 hingga 200 meter dari kawasan berkenaan.
“Laluan ini sememangnya sibuk, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan. Kehadiran peniaga di bahu jalan boleh mengundang bahaya kepada semua pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi Pahang Media, hari ini.
Menurutnya, selain faktor keselamatan, tindakan peniaga yang membuang sisa nangka di kawasan berkenaan turut menimbulkan ketidakselesaan penduduk setempat.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mencemarkan imej kawasan, malah berpotensi menarik kehadiran haiwan liar seperti kera dan monyet ke laluan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan aktiviti perniagaan nangka di laluan berkenaan dikesan bermula sejak setahun lalu selepas siapnya Lebuhraya Lingkaran Tengah (LTU).
“Difahamkan peniaga ini tidak berniaga secara tetap di satu lokasi, sebaliknya sering berpindah-randah di beberapa lokasi sepanjang bahu jalan. Mereka dikatakan memiliki dua hingga tiga kedai tidak kekal di kawasan itu.
“Beberapa teguran telah pun dibuat sebelum ini. Namun, selepas ini kita akan mempertimbangkan tindakan lebih bersepadu termasuk memasang papan tanda larangan berniaga di kawasan berkenaan,” tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, tujuan penguatkuasaan terbabit sebenarnya adalah untuk mencegah kemalangan.
“Sebenarnya tujuannya (penguatkuasaan) adalah untuk mencegah kemalangan. Jadi kita mengingatkan kepada peniaga untuk tidak berniaga di tepi jalan terutama di waktu sekarang dengan kenderaan yang banyak. Jadi penguatkuasaan dibuat atas faktor keselamatan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri Tahun 2025 bertempat di East Cost Mall (ECM), di sini hari ini. -PAHANGMEDIA

