Oleh: Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 MAC 2025 : Dijangkakan sebanyak 3.14 juta kenderaan memasuki negeri ini sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, jumlah tersebut berdasarkan jangkaan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama bermula 27 Mac hingga 7 April ini.
Katanya, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dijangka mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2.24 juta kenderaan akan melalui laluan itu dalam tempoh berkenaan.

“Bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), sebanyak 903,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan tersebut dengan kemuncak trafik pada 6 April ini melibatkan 119,000 kenderaan.
“Kenaikan aliran trafik ini bukan sahaja disebabkan oleh rakyat negeri ini yang pulang ke kampung halaman, malah turut melibatkan pengguna dari negeri lain yang menggunakan laluan di Pahang sebagai transit ke destinasi masing-masing,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 di perkarangan sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YS Mohd Razam Taja Rahim
Apabila ditanya tentang kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya, YB. Dato’ Ir. Razali berkata, projek membabitkan Pakej 5C1 di daerah Bentong di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) kini sedang giat dilakukan.

Tambahnya, projek melibatkan jarak 400 meter itu membabitkan kos sebanyak RM500,000 dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 Mac ini.
“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri turut dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik termasuk pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Keutamaan akan diberikan di kawasan gelap terutama di laluan utama secara berperingkat mengikut peruntukan diluluskan,” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri dalam masa sama turut mengambil langkah proaktif dalam mengatasi isu kekurangan kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R) di LPT.
“Empat R&R sementara sedang dibangunkan dan dijangka siap sebelum Aidilfitri ini bagi menampung keperluan pengguna lebuh raya,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kempen keselamatan dan Ops Siaga Raya, beliau berkata, kempen berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pencegahan kebakaran, keselamatan jalan raya serta langkah menghadapi kecemasan.
“Sebanyak lima premis di negeri ini turut diperiksa oleh JBPM dan disahkan bebas risiko kebakaran sekali gus menerima pengiktirafan berupa Plak MBK (Mesra Bebas Kebakaran).
“Saya berharap orang ramai dapat mengambil peluang memanfaatkan program ini serta menyebarkan ilmu keselamatan kepada masyarakat,” jelasnya.-PAHANGMEDIA

