Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 24 MAC 2025 : Seramai 400 penerima asnaf terpilih negeri ini menerima sumbangan pek perayaan dari Yayasan PETRONAS menerusi Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Semai Bakti, Felda Kemasul di sini semalam.
Sumbangan terbabit disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
YB. Dato’ Amizar berkata, sumbangan berkenaan merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial pihak Yayasan Petronas bagi membantu meringankan beban penerima.

“Hari ini bersama Yayasan Petronas memberikan satu komitmen yang sangat luar biasa iaitu memberikan satu sumbangan kepada seramai 400 orang penerima-penerima asnaf di Pahang.
“Dan Alhamdulillah juga saya nak ucapkan terima kasih kepada Yayasan Petronas dengan tema pada hari ini iaitu Memacu Kehidupan Aidilfitri 2025 tidak lain tidak bukan hasrat mereka daripada Petronas ini adalah untuk meringankan beban penerima,” katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penyampaian terbabit.
Majlis turut dihadiri Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik Mohammad Ahmad Shazly Ramli dan Pegawai Daerah dan Tanah Bentong, Dato’ Mohamad Shahid Ismail.
YB. Dato’ Amizar turut merakamkan penghargaan kepada pihak Petronas kerana memilih Pahang sebagai destinasi paling besar dan utama.

“Terima kasih kepada wakil kita dari Pelangai, dan juga Bentong dan mengucapkan sekali lagi kepada pihak Petronas kerana dapat mengembeling tenaga dan buah fikiran untuk kita bersama meraikan penerima asnaf pada kali ini.
“Petronas bagi berupa barangan dan juga wang tunai dan ini bukan kali pertama. Dan sangat bersyukur memilih Pahang sebagai destinasi yang paling besar, destinasi paling besar,” ujarnya.
Difahamkan setiap keluarga menerima pek barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, kari ayam dalam tin, gula, garam, serbuk minuman coklat dan teh. Selain itu, turut disertakan barangan bertemakan perayaan seperti kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang bagi melengkapkan juadah Aidilfitri.
Yayasan PETRONAS turut mengedarkan biskut raya yang dihasilkan oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat), sebagai usaha memperkasa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Menurut Encik Mohammad Ahmad Shazly, program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS melalui Yayasan PETRONAS untuk membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut lebaran.
“Program Memacu Kehidupan: Aidilfitri ini bertujuan menyediakan keperluan asas bagi meringankan beban mereka yang memerlukan selain membawa kegembiraan sempena Aidilfitri. Kami berharap sumbangan ini memberi makna buat mereka menyambut Syawal bersama insan tersayang,” katanya.
Program Memacu Kehidupan Aidilfitri kali ini bakal memanfaatkan lebih 4,850 keluarga dan 21 rumah kebajikan di seluruh negara, membolehkan mereka turut merasai kemeriahan Aidilfitri. -PAHANGMEDIA

