Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 24 MAC 2025 : “Kerajaan Pahang sekarang dah baik sangat dah, macam-macam rakyat dapat,” itu kata penerima sumbangan Baucar Moh Balik Raya Ke Pahang 2025, Encik Uyob.
Encik Uyob Ahmad, 71, dari Kampung Jengka Batu 13 turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail diatas pemberian baucar petrol ini.

“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang, terima kasih Tok Wan (YAB. Menteri Besar) bagi sumbangan hari ni, bolehlah guna untuk balik kampung nanti.
“Terima kasih Tok Wan bagi bantuan kepada rakyat Pahang, sampai ke luar Pahang pun merasa. Kerajaan Negeri sekarang dah baik sangat dah, macam-macam rakyat Pahang dapat.
“Kalau balik ke Pahang, ke Kuantan tu, dah lain betul sekarang kalau nak banding dengan dulu, dah maju, macam-macam ada,” katanya yang tinggal di Chow Kit.
Seorang lagi penerima, Encik Muhammad Syiful Muhammad Noor, 47, yang berasal dari Bentong turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada anak perantau.

“Rasa gembira dan bersyukur dapat sumbanga baucar ini, boleh balik beraya di Bentong tahun ini. Banyak-banyak terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana bantu anak-anak Pahang di perantauan untuk mendapatkan sumbangan baucar petrol.
“Saya dapat tahu berkenaan baucar ni ada kawan-kawan yang share dalam group WhatsApp, terus saya apply dan alhamdulillah dapat.
“Isteri saya juga dari Bentong pun ada apply juga dan dapat. Dapatlah kami buat isi minyak pergi dan balik ke kampung Hari Raya Aidilfitri nanti sebab saya dah tak bekerja kerana sakit buah pinggang kronik sejak 2 tahun lepas,” katanya yang telah 17 tahun menetap di Ampang.

Manakala bagi Puan Syarifah Nur, 75, yang berasal dari Kuala Tekal, Temerloh, turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB. Menteri Besar yang disifatkan prihatin dengan rakyat Pahang tanpa mengira di mana mereka berada.
Kerajaan Negeri Pahang memberi sumbangan baucar petrol kepada 5,000 penerima yang merupakan perantau anak Pahang sebanyak RM50 seorang.
Seramai 1,000 penerima terdiri daripada pemohon dalam kalangan perantau di Lembah Klang telah menerima baucar petrol manakala bakinya sebanyak 4,000 penerima daripada luar kawasan Lembah Klang akan menerima baucar secara terus yang akan diserahkan oleh kepimpinan Negeri di kampung halaman masing-masing. -PAHANGMEDIA

