Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 20 MAC 2025: Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukan sumbangan berjumlah RM1.761 juta bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan petugas agama negeri ini terdiri dari guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), penyelia KAFA, imam, bilal, siak serta guru takmir negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap usaha semua pihak dalam memperkasakan syiar Islam di Pahang.
“Ini sebagai tanda ingatan Kerajaan Negeri. Di mana, sebab penjawat awam (Kerajaan Negeri) pun dapat (sumbangan), dengan kedudukan yang agak baik jadi kita bagilah.

“Sebagai contohnya guru KAFA dan guru takmir dapat RM300 manakala penyelia KAFA dapat RM500. Kemudian bilal dan siak dapat RM200.
“Dan saya harap ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian KAFA (UPKK) Negeri Pahang Tahun 2024 bertempat ddi Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.

Difahamkan sebanyak RM300 diberikan kepada setiap 2,650 guru KAFA melibatkan peruntukan RM795,000. Manakala sebanyak RM500 kepada setiap 39 penyelia KAFA lantikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) di Pahang dengan jumlah peruntukan RM19,500.
Selain itu Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan RM300 kepada setiap 1,187 imam dan 525 guru takmir manakala bagi bilal pula, setiap seorang daripada 1,087 orang menerima RM200 dan 1,081 siak turut menerima jumlah yang sama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Zaliza Zulkifli mengumumkan keputusan UPKK 2024 di mana seramai 15,945 pelajar telah menduduki peperiksaan itu dengan kadar kelulusan 93.81 peratus, meningkat 2.815 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, seramai seramai 1,636 orang atau 10.37 peratus memperoleh 9A, manakala 1,453 orang atau 9.21 peratus mendapat 8A.
Sehubungan itu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy merakamkan ucapan tahniah kepada JAIP, pentadbir sekolah, guru-guru dan pelajar atas pencapaian cemerlang itu.
“Satu pencapaian yang sangat baik, saya ucapkan syabas dan tahniah. Ada peningkatan dan saya harap cikgu dan pengetua akan meningkatkan lagi prestasi kerana proses pembelajaran ini tidak ada noktahnya dan ianya perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kerajaan Negeri InsyaAllah akan bantu,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

