Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 17 FEBRUARI 2025 : Seramai 90,000 pelajar sekolah di seluruh negeri ini menerima bantuan Kit Peralatan Pembelajaran Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang), hari ini.
Bantuan berupa set peralatan sekolah bernilai RM100 itu telah diedarkan secara serentak di seluruh sekolah di negeri ini yang disampaikan oleh wakil rakyat, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), pemimpin masyarakat dan Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP).

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM9 juta diperuntukkan untuk kesemua penerima terdiri dari semua pelajar Tahun 1 dan pelajar kategori miskin dan miskin tegar bagi Tahun 2 hingga Tingkatan 5.
“Saya rasa pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa. Kalau dia (ibu bapa) ada anak kembar dua orang, sudah RM200 kena belanjakan,” katanya selepas selesai melakukan tinjauan hari pertama persekolahan dan menyampaikan bantuan Tunas Makmur kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, YH. Dato’ Amzan Abd Malek.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, Kerajaan Negeri Pahang memahami dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kalau boleh mereka yang memerlukan bantuan ini semua perlu diberikan bantuan sewajarnya kerana kita memahami.
“Dan anak-anak sekarang sangat bertuah, tadi saya sempat melawat, dan mereka begitu ceria dan gembira bila mendapat peralatan sekolah tadi. Ada yang dapat botol air, ada pensel warna, ada pembaris, ada pengasah.. banyaklah tadi,” katanya.
Tambahnya lagi, sekiranya jumlah RM100 terbabit memadai untuk pelajar, jumlaah terbabit akan dikekalkan pada masa akan datang.
“Itu pun mereka kata sudah melebihi daripada cukup. Jadi kalau kita rasa RM100 itu memadai, kita kekalkan. Kalau perlu tambah, kita akan fikir kemudian,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

