Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 FEBRUARI 2025 : Program Kembara Ilmu dan Qiamullail bersama Menteri Besar Pahang akan dijadikan acara tahunan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program yang masuk tahun kedua penganjurannya ini akan diperhalusi untuk dijalankan di daerah-daerah lain.

“Program ini adalah program kedua yang diadakan, tahun lepas pada bulan Februari ia dibuat di Maahad Tahfiz At-Turath, di Tanjung Gahai (Lipis) dan kemudiannya di sini.
“Dan insyaAllah akan dibuat lagi di masa-masa yang akan datang, akan dijadikan acara tahunan.
“Saya belum fikir lagi (untuk adakan di daerah berbeza) yang penting kita laksanakan, tempat (program seterusnya) nombor dua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kembara Ilmu dan Qiamullail bersama Menteri Besar Pahang di Masjid Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Menurut beliau, program yang berlangsung petang semalam sehingga pagi ini dipenuhi ilmu keagamaan dan memberi penekanan kepada perkara yang harus dilaksanakan oleh umat Islam.
“Program Kembara Ilmu san Qiamullail telah pun selesai, yang bermula semalam, bermula dengan solat Maghrib dan Isyak, sambung pagi tadi pukul 5, kita buat solat tahajud, solat tasbih, solat sunat taubat, witir, dan diakhiri dengan Subuh dan kuliah subuh.
“Dan ceramah kuliah Subuh pagi tadi sangat baik yang memberi penekanan kepada kita tentang empat perkara yang harus kita laksanakan selain daripada yang wajib, solat, iaitu salam, silaturahim, memberi makan, dan bangun malam,” katanya. -PAHANGMEDIA

