Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 17 FEBRUARI 2025 : Kesemua pelajar negeri ini yang tidak menerima bantuan Kit Peralatan Pembelajaran Tunas Makmur akan diberikan Kad Diskaun Tunas Makmur.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelajar yang mendapat kad diskaun berkenaan boleh berbelanja di MBS Bookstore cawangan seluruh negeri Pahang dengan diskaun sehingga 30 peratus.
“Ini tertumpu kepada pelajar, guru dan pensyarah. Selain membeli peralatan persekolahan, boleh beli apa jua yang berkaitan dengan pembelajaran mereka.
“Kita bagi semua kepada pelajar. Tiada had pembelian. Kalau harga RM100, cuma bayar RM70. Kalau harga barang itu RM1,000, bayar RM700. Jadi kita membantu secara langsung dan tidak langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai melakukan tinjauan hari pertama persekolahan dan menyampaikan bantuan Tunas Makmur kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, YH. Dato’ Amzan Abd Malek.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu menasihatkan kepada ibu bapa agar sentiasa peka dengan perkembangan pembelajaran anak masing-masing dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada guru semata-mata.
Beliau turut mengingatkan kepada ibu bapa untuk merujuk kepada guru sekiranya terdapat masalah berkaitan pembelajaran anak mereka.
“Macam saya dahulu, anak saya nombor dua pun ada masalah. Dua, tiga bulan masuk darjah satu, dia tidak boleh sebut perkataan yang ada tiga suku kata.
“Saya dan isteri saya berjumpa dengan guru besar dan isteri diminta mengambil cuti tanpa gaji untuk enam bulan namun dalam masa empat bulan sahaja dia dah boleh mengatasi masalahnya dan kini menjadi seorang doktor,” ujarnya. -PAHANGMEDIA