Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 FEBRUARI 2025 : Belia di negeri ini digesa untuk membina muafakat dan kesatuan baharu sesama golongan muda bagi memastikan segala manfaat yang disalurkan Kerajaan Negeri kepada golongan ini dapat dinikmati.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri Pahang juga sangat memandang tinggi fungsi dan peranan belia.
“Saya telah sampaikan hasrat saya kepada mereka untuk membina muafakat dan kesatuan baru belia-belia di Negeri Pahang ini. Kita juga akan membincangkan secara serius halatuju Majlis Belia Negeri Pahang khususnya untuk libatkan lebih ramai penyertaan belia pelbagai kaum dan anak muda di luar sana dalam aktiviti yang dianjurkan.

“Bagi Kerajaan Negeri Pahang kita sangat memandang tinggi dan mementingkan peranan Majlis Belia Negeri Pahang sebagai penggerak untuk menarik minat anak-anak muda bersama dengan Kerajaan Negeri Pahang dalam menganjurkan program yang memberi manfaat secara langsung kepada mereka.
“Saya nak Majlis Belia Negeri Pahang ini memainkan peranan tersebut dan hasrat ini akan diperincikan dalam retreat yang akan dianjurkan selepas raya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Pahang Kali ke-27 di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Muazamir Haji Jili.
Menurut beliau pengajuran kursus tersebut juga bagi mengenalpasti dan menyelesaikan masalah yang timbul di dalam persatuan belia daerah bagi mengelakkan kerugian kepada ahli dan golongan belia.
“…kita nak bincang secara mendalam, kita tak nak persatuan belia ini termasuk Majlis Belia Daerah terkubur begitu sahaja. Pada Kerajaan Negeri Pahang ini perkara yang perlu diselesaikan, tak boleh nak biarkan.
“Saya juga minta libatkan lebih ramai belia daripada kaum Cina dan India dalam gerakan belia di negeri ini. Sekurang-kurangnya ia mewakili komposis kaum di negeri ini dan kukuhkan perpaduan,” katanya. -PAHANGMEDIA

