Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 15 FEBRUARI 2025: Kerajaan Negeri Pahang menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam pembangunan negeri serta menyertai program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan berdaftar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau turut menekankan tentang kepentingan mahasiswa untuk menjalani kehidupan secara holistik dan tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata.

“Kalau ingin menjadi seorang mahasiswa yang berjaya, kena hidup 365 darjah. Apa sahaja yang baik perlu dilakukan. Hari ini kita bersukan, bermesra dan saling mengenali antara satu sama lain. Apabila kita masuk ke alam pekerjaan nanti, kita akan melakukan perkara yang sama,” katanya ketika berucap bersempena program Sukan Rakyat Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) 2025 bertempat di Perkarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang (YP), YH. Dato’ Indera Mahmud bin Mohd Nawawi; dan Ahli Lembaga Pengarah YP, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin dan
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengingatkan mahasiswa agar sentiasa peka dengan isu semasa, termasuk perkembangan politik selain perlu bijak dalam menilai dan menganalisis maklumat berkaitan.

“Kadang-kadang orang suka dengar kepada persepsi, suka dengar kepada fitnah dan kadang-kadang prestasi diabaikan, lebih-lebih lagi dalam politik.
“Jadi siswa-siswi kena cerdik dalam perkara ini. Kena bijak menilai, bijak menganalisa supaya dapat membuat pilihan yang tepat. Jika keputusan yang salah dibuat, yang ruginya adalah kita, negeri kita dan negara kita,” ujarnya.
Beliau juga dalam masa sama turut mengingatkan kepada peminjam Yayasan Pahang (YP) untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran diskaun sehingga 50 peratus bagi penyelesaian penuh pinjaman mereka.

“Jangan lepaskan peluang ini. Sampaikan makluman kepada kakak, abang atau saudara-mara yang merupakan peminjam YP untuk segera menyelesaikan bayaran pinjaman sementara masih dalam tempoh kempen iaitu dari 15 Disember 2024 hingga 15 Mac 2025,” katanya.
Dalam ada itu, Program Sukan Rakyat MAMPAN 2025 dianjurkan bagi memperkukuhkan hubungan antara pemimpin kerajaan negeri dan mahasiswa anak Pahang yang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar daerah ini.
Seramai 400 mahasiswa anak Pahang dari pelbagai institusi pengajian tinggi sekitar daerah ini telah menyertai program terbabit yang julung kali diadakan.-PAHANGMEDIA

