Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menawarkan sebanyak 16,035 lot rumah di bawah Projek Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP) generasi baharu FELDA yang layak di seluruh negeri Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tawaran terbabit antara tiga perkara yang diumumkan bersempena Majlis Konvensyen Muafakat Felda Pahang bertempat di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini hari ini.
Katanya, selain itu, Kerajaan Negeri turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Sekretariat Muafakat FELDA Pahang di mana peruntukan tersebut merupakan salah satu peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan Pahang 2025 yang lalu.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengumumkan tiga perkara. Yang pertama sekali peruntukan RM2 juta kepada Pengerusi Jawatankuasa FELDA untuk beliau mengadakan pelbagai program.
“Kemudian lebih kurang 16,000 lot tanah (STRF) dan akhir sekali peruntukan RM500,000 untuk program-program di FELDA,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan selepas menyempurnakan majlis berkenaan.
Majlis itu turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ketua Sekretariat Pemuafakan FELDA Malaysia, YB. Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan; Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, sebanyak 96 peratus suratan hak milik tanah kepada peneroka FELDA di negeri ini telah diselesaikan dengan baki empat peratus akan diuruskan secepat mungkin.
“Saya juga memaklumkan bahawa 96 peratus suratan pemberian hak milik telah pun ditunaikan kepada peneroka Felda,
“Ada baki lebih kurang empat peratus lagi yang akan kita uruskan dalam masa yang secepat mungkin. Kelewatan tersebut adalah berikutan terdapat sedikit masalah teknikal,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

