Oleh : Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2025 : Radio berperanan penting dalam mendidik dan menyatukan masyarakat berbilang kaum di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Menurutnya, radio juga penting dalam memainkan peranan menyampaikan maklumat dan hebahan serta info kepada masyarakat.

“Jadi atas kesedaran itulah Kerajaan Negeri Pahang menyokong usaha yang dilakukan oleh Pahang FM dan juga RTM dalam memperkasakan bidang penyiaran atau radio di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan sambutan Hari Radio Sedunia 2025 bertempat di Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mengatakan bahawa kerajaan akan terus bekerjasama antara RTM dan bersedia untuk mendengar cadangan dari pihak RTM untuk kebaikan masyarakat.
YB. Tuan Fadzli juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan kepada pengamal radio di Negeri Pahang sempena sambutan pada hari ini.

“Selamat Hari Radio Sedunia kepada seluruh warga Pahang FM dan juga RTM, terima kasih atas khidmat bakti dan sumbangan yang dicurahkan selama ini dalam memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat selain menghiburkan dalam segmen-segmen yang cukup menarik.
“Ayuh kita memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dalam memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat itu sendiri dan kepada para pendengar teruslah menyokong segmen-segmen menarik dalam Pahang FM,” katanya.
Hari Radio Sedunia pada tahun ini bertemakan “Radio Perubahan Iklim” yang menjelaskan peranan penting radio dalam meningkatkan kesedaran dan menyebarkan maklumat mengenai isu-isu perubahan iklim. -PAHANGMEDIA

