Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bersedia menghulurkan segala bantuan yang diperlukan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) demi masa depan dan pendidikan anak-anak negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antaranya termasuklah memberi kelulusan untuk mewartakan bangunan untuk kegunaan KEMAS.
“Kalau ada balai raya yang KEMAS guna, kita boleh wartakan, tidak ada masalah.
“Sebab saya tahu kalau ada balai raya yang sekarang menumpang dan tidak diwartakan, kalau itu (balai raya) dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri kita bagilah. Lagipun itu untuk siapa? Untuk anak cucu cict kita juga, bukan untuk orang lain.

“Minta sahaja, InsyaAllah saya bagi. Kita kena bagi juga bantuan kewangan kepada KEMAS daerah ini,” katanya ketika berucap bersempena Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Bersama Kakitangan KEMAS Negeri Pahang Tahun 2025, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah KEMAS, YB. Datuk Mohd Hanafiah Man dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah KEMAS, Tuan Haji Zairuddin Mat Zuini; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KEMAS, Encik Khairuddin Md Nasir, dan Pengarah Jabatan KEMAS Negeri Pahang, Encik Zulkefli Ahmad Nazri.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengingatkan kepada semua kakitangan KEMAS agar terus bekerjasama dan bergerak ke hadapan dalam memajukan agenda pembangunan negeri demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negeri dicapai bersama.
“Terima kasih kepada semua warga KEMAS atas usaha dan kesetiaan sepanjang tahun.
“Sebesar atau sekecil mana pun peranan kita, ia tetap memberi makna kepada setiap usaha kita dalam memakmurkan dan mensejahterakan rakyat di Negeri Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

