Oleh : Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2025 : “Terima kasih atas kehadiran YB melawat saya keluarga pada Program Jejak Lagenda sempena Hari Radio Sedunia hari ini,” ujar Siti Fatimah Yaacob, 61, yang merupakan balu Allahyarham Haji Mohd Hazidi Bin Alang Ahmad yang telah berkhidmat 37 tahun di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Siti Fatimah sangat terharu di atas kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal bersama rakan-rakan RTM yang membuktikan mereka masih mengenangkan jasa arwah suaminya ketika bertugas sebagai penerbit rancangan di RTM dahulu.
Sementara itu, Encik Nashruddin Abd Hamid, 65, bekas penyampai radio yang telah berkhidmat selama 36 tahun di RTM, berasa terharu dan gembira dengan kehadiran YB. Tuan Fadzli.
Katanya, kunjungan itu amat bermakna bagi beliau, yang kini menghidap kencing manis sejak tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau juga menceritakan dan terkenang segala memori manis sewaktu bertugas bersama-sama di RTM suatu tika dahulu dalam membuat sesuatu rancangan terutamanya rancangan agama yang memberi kebaikan.

Siti Fatimah Yusof, 60, yang merupakan bekas pesara dari Pahang FM setelah berkhidmat lebih kurang 30 tahun turut mengucapkan rasa syukur di atas kunjungan yang dilakukan.
“Kami sangat berbesar hati dan semoga harapannya program-program seperti ini dapat diteruskan untuk masa-masa yang akan datang.
“Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Radio Sedunia kepada warga pendengar semua khususnya pada warga setia pendengar RTM Pahang, semoga ia datang manfaat yang banyak untuk kita semua dan sama-samalah kita membahagiakan sesama kita,” katanya.
Sementara itu, YB. Tuan Fadzli berkata, lawatan hari ini adalah sebagai tanda menghargai mereka dalam menabur jasa sewaktu berkhidmat di RTM.
“Kerajaan Negeri Pahang sangat menghargai sumbangan mereka ini dalam perkhidmatan lebih 30 tahun, satu jasa dan sumbangan yang cukup besar.
“Saya ucapkan syabas kepada Pahang FM dan juga RTM kerana melaksanakan Program Jejak Lagenda Sempena Hari Radio Sedunia ini untuk kita kenang jasa, sumbangan komitmen dan pengorbanan orang-orang lama yang telah memberi perkhidmatan khususnya dalam bidang radio dan penyiaran ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

