Oleh : Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan bantuan yuran pendidikan sebanyak RM2.52 juta kepada Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) bertempat di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.
Penyampaian terbabit disempurnakan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada Pengarah Eksekutif Maahad Gemilang Sdn. Bhd, Ustaz Shahrulkarnain Mohd Nazir.
Maahad Gemilang Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat Yayasan Pahang yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus TTNP.

Ustaz Shahrulkarnain berkata, bantuan yuran pendidikan yang disalurkan Kerajaan Negeri melalui Belanjawan Pahang 2025 itu bertujuan untuk membiayai pelajar dari golongan B40, asnaf dan penerima zakat negeri ini.
“Mereka (pelajar) akan menerima setiap bulan sebanyak RM250 untuk pembayaran yuran dan juga sekitar RM500 untuk yuran tahunan.
“Jadi keseluruhan dalam tempoh setahun ini mereka menerima lebih RM3,000 (setiap seorang) daripada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya ketika ditemui selepas gimik penyerahan replika cek berkenaan di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Ustaz Shahrulkarnain juga berkata, pemberian bantuan yuran pendidikan terbabit mampu memberi kelegaan kepada penerima terutama golongan B40.

“Alhamdulillah, melalui pemberian bantuan yuran pendidikan ini akan mampu memberi kelegaan kepada anak-anak terutama golongan B40 untuk mereka membayar yuran kepada TTNP,” ujarnya.
Tambahnya lagi, TTNP setakat ini memiliki 37 buah cawangan dengan sekitar 1,050 pelajar yang sudah berdaftar dan memulakan pengajian pada Isnin lalu.
“Dan kita jangkakan untuk tahun ini kita sasarkan lebih 1,200 pelajar untuk kemasukan ke Tadika Tahfiz Negeri Pahang ini,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

