Oleh : Norhafizan Zulkifli
PEKAN, 7 FEBRUARI 2025 : Seramai 28 penerima dibawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bertempat di Kediaman Seri Kenangan, di sini hari ini.
Sumbangan bernilai kira-kira RM78,000 itu disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
YB. Dato’ Mohamad Nizar berkata, penyampaian sumbangan berkenaan membuktikan YAB. Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa cakna akan keperluan rakyat negeri ini.
“Sepanjang pengalaman saya berurusan YAB. Menteri Besar, beliau tidak pernah menolak permintaan daripada pengundi DUN Peramu Jaya dan saya amat berterima kasih kepada beliau kerana dapat meluluskan peruntukan tersebut.

“Peruntukan digunakan untuk pelbagai tujuan. Untuk membantu mereka yang sakit kronik, ada masalah kesihatan dan membantu untuk belajar bagi mereka yang kurang berkemampuan, ada golongan fakir miskin, asnaf dan ada dana untuk sekolah, membantu golongan tua dan sebagainya,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan berkenaan di sini hari ini.
Tambah beliau, negeri Pahang amat bertuah kerana memiliki seorang pemimpin yang pandai menguruskan kewangan, mentadbir dan mencari dana.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, kita berjaya mencapai kutipan melebihi RM1 bilion untuk tiga tahun berturut-turut.
“Hasil tersebut kita pulang semula kepada rakyat dan antaranya adalah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) selain dalam bentuk kelulusan dana khas yang diberikan kepada para pengundi sebagaimana yang kita lihat pada hari ini,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

