Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 JANUARI 2025 : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi membawa seorang bayi lelaki dari Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam.
Bayi lelaki berusia 1 bulan tersebut, Muhammad Emir Mikhyl Muhammad Izral Haziq yang disyaki menghidap penyakit Sepsis diterbangkan ke HTAA pada 5 petang untuk mendapatkan rawatan segera oleh helikopter EC 725 AP dari No. 10 Skuadron.

Bayi bersama ibunya, Puan Nur Anis Hidayah Mohd Nazari selamat mendarat di Pangkalan Udara Kuantan pada 5.37 petang sebelum dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh TUDM, penerbangan ini telah dikendalikan oleh Mejar Khairul Ridhuan Ramlee, dan Mejar Helmi Che Mat, serta Kuartermaster Udara, Flait Sarjan Jilvanio Stephanus, dan Sarjan Udara Muhammad Syafudeen Selamat.
Pihak TUDM dalam kenyataan ini turut melahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi ini termasuk anak kapal pesawat serta pihak yang memberikan sokongan secara langsung atau tidak langsung.
Pihak tersebut juga turut mendoakan semoga bayi tersebut dapat menjalani rawatan dengan lancar dan segera diberikan kesembuhan. -PAHANGMEDIA

