Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 27 DISEMBER 2024 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan sebanyak RM12.26 juta bagi melaksanakan kerja-kerja membina rumah baru dan membaik pulih 218 rumah asnaf di seluruh Pahang.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP (Baitulmal Dan Operasi), YBrs Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, jumlah tersebut merangkumi RM8.34 juta bagi pembinaan 92 rumah baru manakala RM3.93 juta pula bagi membaikpulih 126 rumah asnaf.
Jelasnya, MUIP sentiasa berusaha untuk memastikan keperluan rumah bagi golongan asnaf dapat disediakan dengan selesa dan selamat serta mengambil kira kesesuaian keperluan penerima termasuklah keadaan lokasi rumah yang bakal dibina sekiranya berisiko banjir dan sebagainya.
“Rumah MUIP ini unik berbanding dengan rumah-rumah agensi lain, kita buat (membina) mengikut bilangan ahli rumah, ada yang kita reka rumah dilengkapi dua bilik sahaja, ada juga satu bilik tetapi turut dilengkapi dengan ruang tamu dan dapur semua ada, manakala kalau penerima ramai, kita juga sediakan rumah sehingga empat bilik untuk kemudahan asnaf mengikut keperluan masing-masing.
“Ada juga rumah bertiang sekiranya lokasi tapak rumah terlibat kawasan banjir, jadi kos pembinaan setiap rumah adalah berbeza-beza dengan kos minima RM65,000 dan maksima boleh pergi sehingga RM200,000, rumah bertiang lah biasanya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika kunci rumah Bantuan Asnaf MUIP 2024 di sekitar Pekan melibatkan seramai lima penerima.
Bagi Daerah Pekan, MUIP telah memperuntukkan sebanyak RM1.98 juta bagi membina baru 22 rumah asnaf manakala RM2.17 juta pula bagi melaksanakan kerja-kerja membaikpulih dan selenggara 75 rumah asnaf dengan jumlah keseluruhan RM4.14 juta.
Dr. Asmadi berkata, MUIP merancang untuk menambah jumlah peruntukan berkenaan bagi memastikan lebih banyak rumah asnaf dapat dibina dan dibaikpulih di seluruh Pahang.
“Tahun depan InsyaaAllah kita akan mempertingkatkan (peruntukan) kerana saya yakin seperti Daerah Pekan ini dan daerah-daerah lain akan mempertingkatkan lagi jumlah keperluan masyarakat yang melibatkan rumah.
“Pada tahun hadapan kita akan memperuntukkan dalam RM15 juta untuk melaksanakan pembinaan dan baik pulih rumah asnaf ini,” katanya. -PAHANGMEDIA