KUANTAN, 19 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang melalui agensi penguatkuasa akan melaksanakan operasi khas bagi menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di negeri itu, terutama di jalan raya.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, operasi khas itu akan dilaksanakan bukan sahaja membabitkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, malah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya lagi, haiwan ternakan yang ditangkap dan kegagalan penternak menuntut haiwan mereka dalam tempoh 14 hari menyebabkan haiwan itu dirampas.
“Jika penternak menuntut dalam tempoh 14 hari, sejumlah RM500 kompaun akan dikenakan bagi seekor haiwan. Tindakan penguatkuasaan ini kerana kerajaan negeri melalui agensi kerajaan sudah memberi peringatan kepada penternak supaya memastikan haiwan mereka tidak dibiarkan bebas berkeliaran.
“Sebaiknya mereka menempatkan haiwan ternakan di dalam kandang atau kawasan tertentu kerana jika dibiarkan bebas, ia boleh mengundang bahaya terutama daripada segi keselamatan dan nyawa apabila berada di jalan raya,” katanya.
Jelas beliau lagi, langkah itu juga untuk memastikan semua penternak haiwan iaitu lembu dan kerbau mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa yang tidak membiarkan haiwan ternakan mereka bebas berkeliaran.
“Penguatkuasaan itu susulan kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar menerima aduan daripada orang ramai berkaitan ternakan berkeliaran terutama di jalan raya yang menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa.
“Mengikut Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 Seksyen 9 (1), mana-mana orang yang bertanggungjawab ke atas kerbau lembu yang didapati berada di dalam kawasan larangan adalah melakukan suatu kesalahan.
“Penternak boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua bagi kesalahan membiarkan ternakan berkeliaran di kawasan larangan jika didapati bersalah.
“Kawasan larangan yang dinyatakan mengikut Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 adalah permukaan jalan, kawasan dalam lingkungan 20 meter dari bahu jalan, dan semua tempat awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini. -PAHANGMEDIA

