Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 17 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang akan menyelaraskan kolaborasi dengan tiktokers dan pempengaruh di negeri ini dalam usaha menyampaikan maklumat dan informasi yang tepat menerusi saluran yang betul kepada golongan muda.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, penyampaian maklumat berhubung kerajaan perlu mempelbagaikan teknik penyampaian memandangkan kebanyakan pengguna media sosial khususnya tiktok terdiri di kalangan anak muda dan belia.

“Saya akan bekerjasama menyalurkan maklumat-maklumat kepada rakyat khususnya berkaitan kemajuan dan pembangunan Negeri Pahang itu sendiri dan saya nak mereka (pempengaruh) memainkan lebih peranan khususnya kepada anak muda dan belia sebab kebanyakan pengguna media sosial ini di kalangan anak muda dan belia jadi amat penting konten-konten yang membantu anak-anak muda kita.
“Macam-macam yang mereka rancang, mereka ada kepakaran bagi kelas khusus di sekolah-sekolah, institut pengajian tinggi, di pejabat kerajaan dan sebagainya, jadi ini lah kolaborasi yang mungkin kita boleh perhalusi lagi selepas ini.
“Mereka memang bantu jadi mungkin kita perlu selaraskan lagi lah selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Hi Tea Tiktokers dan Influencers Negeri Pahang bersama Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dengan kerjasama TNB Negeri Pahang di Menara Kuantan 188 di Kuantan.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Negeri Pahang TNB, Ir. Affendi Abd Rahman.
Jelasnya, Kerajaan Pahang bersedia untuk membantu tiktokers dan pempengaruh ini agar kerjasama yang sudah sedia wujud dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Mereka ini memainkan peranan besar dalam masyarakat khususnya menyampaikan maklumat dan informasi tentang Negeri Pahang ini dan di kalangan mereka sendiri banyak kepakaran dan konten-konten yang mereka bagi tumpuan dalam bidang pelancongan, restoran-restoran yang menarik, kemudahan dan fasiliti yang disediakan di Negeri Pahang ini.
“Jadi sudah pastilah secara tidak langsung mereka ini membantu Kerajaan Negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA

