Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 6 DISEMBER 2024 : Pelaksanaan Program Juadah Makmur merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang bertujuan berkongsi rezeki dengan rakyat dengan peruntukan sebanyak RM8.5 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada jemaah Solat Jumaat tetapi turut dapat berkongsi rezeki dengan pihak pengusaha makanan.
”Malah, program ini juga memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha-pengusaha makanan, pembekal-pembekal bahan mentah serta pekerja-pekerja mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menjawab pertanyaan tambahan daripada ADUN Sungai Lembing, YB. Tuan Mohamad Ayub Mat Ashri berhubung peruntukan RM8.5 juta bagi Program Juadah Makmur, ADUN Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain turut menambah, konsep Juadah Makmur adalah sangat baik dalam berkongsi hasil negeri dengan rakyat menerusi pelbagai bentuk termasuklah Juadah Makmur ini.
“Memberi makan ini keberkatannya ada di mana-mana, sebaik-baik sedekah ialah memberi makan kerana menjadi darah daging kepada rakyat,” katanya.
Program Juadah Makmur merupakan inisiatif agihan makanan khusus selepas solat Jumaat di masjid-masjid seluruh Pahang dengan sebanyak 700,000 pek makanan telah diagihkan setiap tahun.
Selain masjid, program ini juga melibatkan pengagihan makanan ke jabatan kerajaan dan organisasi tertentu secara bergilir-gilir.
Program ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, dengan matlamat untuk berkongsi kemakmuran negeri dalam pelbagai bentuk. – PAHANGMEDIA

