Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang sentiasa berusaha memastikan rakyat di negeri ini dapat memiliki rumah yang selamat dan selesa dengan menyediakan pelbagai Skim Perumahan Negeri Pahang untuk rakyat.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, antaranya PR1MA Pahang, Rumah Makmur, Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP), Rumah Mesra Pahang, Rumah Pahang di bawah Program Generasi Baharu FELDA (PGBF), Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Katanya, sehingga kini jumlah penyiapan rumah adalah sebanyak 15,742 unit dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM1.52 bilion.
“Kerajaan Negeri merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah di atas keprihatinan baginda bersama Presiden Emeriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang menyalurkan dana bagi menyediakan kediaman kepada golongan miskin tegar dan juga miskin bandar, melibatkan 790 unit Rumah Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) dan 121 unit rumah kepada mangsa banjir dengan jumlah keseluruhan kos bernilai RM86.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga akan melancarkan satu Projek Pangsapuri Pahang khas kepada golongan muda yang baru memulakan kerjaya dan juga yang mula mendirikan rumahtangga.
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi Kempen Penanaman 100 juta pokok, Program CEPA (Communication, Education and Public Awareness), pewartaan Hutan Simpan Kekal Baharu, geran penyelidikan dan program Buyback Guarantee Tapak Semaian Orang Asli Negeri Pahang dalam usaha memelihara alam sekitar.
“Selain itu, sebanyak RM2 juta turut disediakan bagi Projek Penilaian Biodiversiti Rizab Harimau Al-Sultan Abdullah, Kajian Kepelbagaian Tasek Bera, Program Saintifik Kepelbagaian Biologi dan Genetik serta Projek Pembangunan Pusat Pangkalan Data Sumber Biodiversiti,” katanya.
Selain itu, katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga memantau 86 sungai dari sembilan lembangan dengan 192 stesen pemantau kualiti air sungai untuk meningkatkan kualiti air bagi daerah Cameron Highlands, Raub, Lipis dan Jerantut.
Bagi aspek Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM245,000 bagi penyediaan Kajian Rancangan Tempatan (Penggantian) bagi daerah Lipis, Rompin dan Jerantut.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM1.1 juta turut disediakan bagi mewujudkan Blueprint Bandar Pintar Negeri Pahang, Kajian Pengangkutan Awam Daerah Kuantan dan Kajian Rancangan Kawasan Khas Tanjung Batu-Nenasi di Pekan yang menumpukan pembangunan infrastruktur dan kemudahan masyarakat. – PAHANGMEDIA

